Ke mana kebanyakan pelajar lelaki pergi selepas tamat Sijil Pelajaran Malasyia (SPM)?.
Itu persoalan yang dilontarkan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berhubung jurang perbezaan antara bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan di universiti tempatan ketika ini.
Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan perempuan di universiti iaitu 30:70 perlu ditangani kerana ia boleh memberi implikasi jangka masa panjang terhadap negara.
“Meskipun ada berpendapat perkara ini tidak begitu membimbangkan tetapi jurang tidak seimbang bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan,” katanya melalui satu kenyataan media.
Ahmad Fahmi berkata, situasi itu boleh menyebabkan ramai pelajar lelaki menjadi pekerja berpendapatan rendah manakala golongan wanita pula menguasai kerjaya professional dan jawatan penting.
Justeru, kata beliau, kerajaan perlu melaksanakan kajian khusus dalam mencari punca dan mencari kaedah penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan persoalan ke mana perginya pelajar lelaki lepasan persekolahan.
Selain itu, katanya, memang benar ada pelajar lelaki lepasan sekolah mengambil jurusan vokasional dan teknikal tetapi rata-rata mereka hanya sekadar mempunyai kelulusan sijil atau diploma.
Malah, katanya, terdapat juga golongan itu yang memasuki pasaran buruh sebagai tenaga kerja tidak berkemahiran tinggi sedangkan peluang sentiasa terbuka dengan kewujudan begitu banyak institusi swasta dan juga sokongan kerajaan dalam memastikan modal insan yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
Katanya, pelajar sekolah perlu diberi pendedahan awal berkenaan alam kampus dan disuntik semangat merebut kekosongan di IPT.
“Golongan ini juga perlu diberi dorongan motivasi berkenaan peri pentingnya penerusan pembelajaran di menara gading,” katanya.
Mynewshub.my baru-baru ini melaporkan nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan perempuan di universiti ketika ini adalah 30:70.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik berkata, situasi itu bukan suatu yang membimbangkan tetapi jurang bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan itu harus diberi perhatian oleh semua pihak
No comments:
Post a Comment